Perkembangan dagangan dalam pasaran semalam melihatkan hampir kesemua matawang utama diniagakan lemah melainkan dolar Amerika dan Swiss franc. Dolar Australia dan Pound antara yang berada di tangga tercorot.

Situasi ini memberi laluan untuk USD terus mengukuhkan dagangannya selepas lonjakan harga susulan laporan data pekerjaan NFP Jumaat lalu yang memberangsangkan.

Namun, momentum pergerakan harga perlahan dengan tumpuan pasaran terarah pada ucapan Gabenor Federal Reserve Jerome Powell dalam persidangan yang dianjurkan oleh bank pusat itu di Boston. Dalam ucapannya, Powell tidak menyampaikan sebarang komen berkenaan unjuran polisi monetari bank pusat ataupun keadaan ekonomi semasa.

Kekuatan dagangan USD masih lagi dilihat kukuh dengan sentimen jangkaan Fed akan menangguhkan penurunan kadar bagi mesyuarat yang akan datang selepas bulan ini.

Presiden Philadelphia, Harker yang akan tersenarai sebagai ahli mengundi di bank pusat tahun hadapan dilaporkan telah memberitahu Wall Street Journal (WSJ) bahawa beliau tidak melihat sebab yang menarik untuk tindakan penurunan kadar dengan beranggapan ekonomi Amerika Syarikat berada di tahap yang masih kukuh.

Sesi pasaran Eropah petang ini akan menumpukan pada dagangan matawang Eropah iaitu Euro dan Pound Sterling. Data pengeluaran perindustrian di Perancis dan Itali bakal dipaparkan sebelum tumpuan beralih pula pada data pertumbuhan GDP di UK pada jam 4.30 petang.

Seterusnya, tumpuan pasaran pada sesi Amerika pada malam ini pula akan terarah pada penetapan kadar faedah dalam mesyuarat polisi bank pusat Kanada yang menjadi data tumpuan utama pelabur pada minggu ini. Pasaran menjangkakan Bank of Canada (BOC) akan mengekalkan kadar faedah di paras 1.75% namun kenyataan susulan bank pusat akan dinanti-nantikan oleh pelabur untuk isyarat penetapan kadar pada mesyuarat seterusnya.

Dagangan dolar Kanada perlahan menjelang mesyuarat bank pusat dengan dipengaruhi oleh risiko ketidakstabilan pasaran minyak mentah ekoran kebimbangan terhadap konflik perang dagang AS-China yang kini memasuki tahun kedua.