Perkembangan rundingan dagang melibatkan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China dilihat masih goyah. Sebelum ini, ketegangan antara dua negara tersebut berlarutan dan kini telah memasuki tahun kedua di mana terus menjejaskan kesihatan ekonomi global.

Namun, setelah melalui siri berbalas serangant tarif terhadap barangan import masing-masing sebelum ini, terdapat harapan pada pertemuan dua Presiden negara itu dalam persidangan G20 yang berlangsung di Osaka Jepun tempoh hari.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan tarif terbaru dan dilaporkan akan memulakan kembali rundingan perdagangan namun masih tiada sebarang perkembangan rundingan yang baru.

Dalam pada itu, laporan terbaru melibatkan dua ekonomi gergasi dunia ini kembali menggusarkan pasaran. Kementerian Luar Negeri China mendesak Amerika Syarikat untuk membatalkan serta merta cadangan untuk penjualan senjata kepada Taiwan.

Menteri Luar China, Geng Shuan berkata tindakan Amerika tersebut mengganggu hal ehwal dalaman China serta menjejaskan kedaulatan serta kepentingan keselamatan China.

Isu-isu sebegini berpotensi untuk mengganggu kelancaran proses rundingan yang baru bagi Amerika Syarikat dan China.

Dalam perkembangan lain, Ketua Penasihat Ekonomi di White House Larry Kudlow menyebut dalam ucapannya pada wawancara pada Selasa bahawa Amerika Syarikat dan China berkemungkinan tidak akan mampu mencapai kesepakatan dalam rundingan dagang.

Ini adalah disebabkan faktor kesukaran yang dihadapi kedua-dua pihak untuk menyelesaikan baki isu yang masih menjadi perselisihan. Namun begitu, beliau masih lagi optimis mengharapkan persetujuan rundingan dapat dicapai.

Terus nantikan perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China dari masa ke masa. Pantau juga isu-isu berkaitan yang berpotensi mempengaruhi keputusan rundingan.