Sesi pasaran Asia pagi ini menerbitkan beberapa data penting yang mempengaruhi matawang Asia terutamanya dolar Australia dan New Zealand.

Dagangan dolar AUD kekal lemah setelah data sentimen pengguna tinjauan Westpac mencatatkan bacaan yang mengecewakan dengan angka penurunan lebih rendah kepada -4.1% berbanding penurunan -0.6% bulan sebelumnya.

Penurunan tersebut adalah yang terendah dalam tempoh 2 tahun dengan kemerosotan pada jangkaan ekonomi akan membebankan sokongan terhadap prospek penurunan kadar faedah serta pelepasan cukai.

Namun apa yang mengejutkan pasaran pada sesi Asia hari ini adalah penurunan mendadak dagangan dolar New Zealand sehingga mencecah paras terendah 3 minggu berbanding USD.

Penurunan pada dagangan carta harga NZD/USD mencatatkan 30 pips penurunan dari paras tumpuan 0.66000 mencecah paras terendah sekitar 0.65670 sebelum harga kembali pantul semula 30 pips ke paras terjunan tersebut semula.


Penjualan agresif matawang Kiwi tersebut menimbulkan sedikit panik sebentar tadi dengan pelabur tertanya-tanya punca penyebab berlakunya situasi tersebut.

Dipercayai faktor mendorong dagangan Kiwi melemah sebentar tadi adalah data ekonomi China yang dikeluarkan apabila data inflasi dan indeks harga pengeluar di China mencatatkan bacaan yang kurang memberangsangkan.

Indeks harga pengguna di China masih kekal seperti jangkaan di paras 2.7% tidak berubah untuk bulan Jun berada pada kadar tertinggi 15 bulan setelah peningkatan pada bulan sebelumnya.

Manakala indeks harga pengeluar pula mencatatkan kadar penurunan ke paras sifar daripada paras 0.6% bulan sebelumnya dan juga lebih rendah berbanding jangkaan penurunan 0.3% oleh pasaran.

Bacaan yang meleset daripada jangkaan tersebut merupakan yang terendah sejak bacaan data yang dikeluarkan pada Ogos 2016.

Umumnya diketahui bahawa China merupakan pasaran eksport utama buat New Zealand dan Australia. Selain Kiwi yang terkesan ekoran data ekonomi di China yang lemah, Aussie juga bakal menerima tempiasnya.