Menjelang mesyuarat polisi monetari bank pusat Kanada pada malam ini, dagangan dolar Kanada perlahan ekoran pelabur lebih berwaspada menantikan keputusan penetapan kadar faedah.

Bank of Canada (BOC) dijangka bersedia untuk menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi untuk suku tahun kedua dan mengekalkan kadar faedah, mengambil pendekatan yang berbeza berbanding pendirian bank pusat utama yang lain dengan rata-ratanya menjurus ke arah pelonggaran polisi seperti Federal Reserve (Fed), Reserve Bank of Australia (RBA) dan European Central Bank (ECB).

BOC dijangka bakal kekalkan kadar faedah di paras 1.75% seperti sebelum ini namun penganalisis pasaran menjangkakan bank pusat akan menaikkan unjuran pertumbuhan tahunan untuk suku kedua di antara 2.25% hingga 3%, daripada kadar 1.3% unjuran pada April.

Jangkaan kenaikan tersebut didorong oleh kejatuhan ketara oleh hasil pulangan bon global yang membantu mengurangkan kos pinjaman isi rumah di Kanada.

Bank pusat dengan unjuran jangka masa panjang menjangkakan ekonomi akan kembali pulih semula daripada kemerosotan sebelum ini yang dicetuskan oleh penurunan harga minyak mentah.

Oleh itu, matawang dolar Kanada dilihat melakarkan nama antara matawang berprestasi terbaik pada tahun ini dengan jangkaan pelabur bahawa bank pusat Kanada akan mengubah pendirian polisi dovish sebelum ini.