Selepas pertemuan kedua-dua presiden dari Amerika Syarikat dan China di persidangan kemuncak G20 Osaka hujung minggu lalu, ketegangan perang dagang dilihat semakin reda dan memberikan kelegaan terhadap para pelabur.

Namun, terdapat isu terbaru yang berkemungkinan menghangatkan semula hubungan dagang dua ekonomi gergasi itu yang mula memberi keraguan terhadap pasaran menerusi laporan terbaru oleh South China Morning Post.

Media China itu menyatakan gencatan perdagangan akan menuju ke arah kegagalan dan mencetuskan semula perang dagang jika sekatan teknologi terhadap Huawei tidak akan ditarik balik.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk rundingan diadakan semula, Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menarik balik sekatan terhadap Huawei sebagai pertukaran untuk bekalan kacang soya ke China setelah pesanan dihentikan sebelum ini.

Sebelum ini, syarikat teknologi gergasi China, Huawei telah disenaraikan dalam kategori firma yang diharamkan untuk berurusniaga bersama syarikat-syarikat Amerika disebabkan ketegangan yang berlaku antara Amerika dan China.

Mengikut sumber yang dilaporkan, terhadap kekeliruan dalam isu yang dipersetujui bersama dan buat masa sekarang Beijing ingin melihat rentak sama ada pentadbiran Trump akan melonggarkan larangan bekalan kepada Huawei, seperti yang telah dijanjikan ketika pertemuan di Jepun minggu lalu.

China menjangkakan pengumuman penarikan semula sekatan terhadap Huawei itu dalam masa yang terdekat ini. Jika benar berlaku, China akan memberikan komitmen terhadap pembelian produk pertanian. Namun jika terdapat sebarang penangguhan atau perubahan tindakan, rundingan antara China dan Amerika Syarikat dijangka akan segera kembali tegang.

Walaupun berada dalam kegelisahan, China masih kekal optimis perjanjian akan dapat dicapai. Sebarang tindakan keputusan dan tindakan yang memberi perkembangan positif akan disambut baik oleh China.