Dagangan dolar Amerika Syarikat semalam dilihat sedikit perlahan berbanding pengukuhan yang ditunjukkan pada Isnin selepas persidangan kemuncak G20 di Jepun menyokong sentimen pasaran semasa.

Persidangan tersebut berakhir dengan positif dan pelabur melihat perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China akan kembali menjernihkan semula hubungan dua ekonomi dunia itu.

Walaupun sentimen pasaran menyokong dagangan USD, namun pelabur berwaspada menjelang data penting Amerika Syarikat pada penghujung minggu ini iaitu laporan data pekerjaan NFP yang bakal memberikan impak besar terhadap pergerakan harga terutamanya matawang USD.

Tumpuan untuk USD pada hari ini adalah pada laporan data pekerjaan ADP NFP untuk sektor swasta yang akan memberi petunjuk terhadap laporan pekerjaan NFP pada Jumaat nanti. Seterusnya, tumpuan beralih pula kepada data PMI bukan-perkilangan tinjauan ISM dan dijangka akan turut menggerakkan harga pada sesi pasaran Amerika malam ini.

Euro sebaliknya diniagakan lemah dengan risiko-risiko yang memberi tekanan terhadap matawang Eropah itu. Penggubal undang-undang Eropah mengatakan tidak perlu tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah di mana sebelum ini Gabenor bank pusat menyampaikan mesej yang bernada dovish terhadap polisi monetari dengan kemungkinan untuk beberapa lagi penurunan kadar faedah pada tahun ini.

Sementara itu juga, pasaran turut gusar dan memberi fokus terhadap isu pencalonan Christine Lagarde sebagai ketua European Central Bank (ECB) menggantikan Mario Draghi pada 31 Oktober nanti.

Data-data ekonomi pada zon Eropah juga tidak mencatatkan bacaan yang memberangsangkan terutamanya penurunan pada aktiviti perkilangan, pengeluaran dan pesanan barangan yang baru. Faktor tersebut juga akan turut mempengaruhi kadar inflasi di Eropah.

Pound Sterling meneruskan kemorosotan dagangan ekoran ketidaktentuan politik di Britain selain kebimbangan pelabur terhadap isu Brexit. Dagangan GBP dijangka akan kekal berisiko dengan ketiadaan perkembangan baru untuk menyokong matawang Britain itu.

Dagangan dolar Australia pula kekal stabil walaupun Reserve Bank of Australia (RBA) telah menurunkan kadar faedah ke paras terendah yang terbaru untuk mesyuarat Julai. RBA tidak memberikan sebarang isyarat untuk tambahan penurunan kadar untuk mesyuarat yang akan datang dan mengatakan tindakan penurunan kadar adalah bersesuaian dengan unjuran ekonomi global.

Data pengesahan pembinaan bangunan baru di Australia yang dikeluarkan pada sesi Asia hari ini serta data imbangan dagangan mencatatkan bacaan yang meningkat. Dan tumpuan pada sesi Asia esok hari akan tertumpu pula pada data jualan runcit yang turut dijangka meningkat.

Dolar Kanada (CAD) pula bergerak mendatar pada dagangan semalam sementara menunggu data imbangan dagangan yang akan dikeluarkan pada malam ini. Di samping itu juga, pasaran menantikan laporan data pekerjaan Kanada yang akan dikeluarkan bersama laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada Jumaat ini.