Berikut adalah sebahagian daripada data-data penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Data PMI Perkilangan Zon Eropah (Isnin 4.00 Petang): Kadar pertumbuhan pada pengeluaran perkilangan menurun pada zon Eropah sejak 7-8 bulan yang lalu. Sekitar dua bulan yang lalu, data perkilangan mencatatkan bacaan yang perlahan, walaupun Perancis dan Sepanyol mencatatkan bacaan yang baik, namun terkesan oleh penurunan pada ekonomi Jerman yang lebih memberi impak sebagai ekonomi terbesar di zon tersebut.

Data PMI Perkilangan UK (Isnin 4.30 Petang): Setelah bacaan yang merosot pada tahun lalu, bacaan data PMI perkilangan mencatatkan kenaikan pada Januari tahun ini disusuli dengan bacaan yang turut baik pada bulan seterusnya. Data pada bulan Mei menguncup kembali mencatatkan penurunan dan dijangka bacaan bulan ini masih lemah.

Data Perkilangan ISM Amerika Syarikat (Isnin 10.00 Malam): Data tinjauan Institute of Supply Management (ISM) bagi meninjau data perkilangan di Amerika Syarikat dan memberikan petunjuk terhadap kesihatan ekonomi. Bacaan data untuk bulan Jun dijangka menurun mengekalkan siri penurunan angka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Mesyuarat Polisi Bank Pusat Australia (Selasa 12.30 Tengahari): Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat polisi monetari untuk bulan Julai. Jangkaan penurunan adalah berdasarkan kenyataan dovish oleh bank pusat pada mesyuarat sebelum ini dengan mengikuti jejak langkah Federal Reserve. Namun, berkemungkinan juga bank pusat akan mengekalkan kadar faedah sedia ada.


Data PMI Perkhidmatan UK (Rabu 4.30 Petang): Bacaan data untuk separuh tahun 2019 menunjukkan peningkatan dan dijangka terus meningkat untuk data kali ini. Data ini juga turut menjadi petunjuk kepada kesihatan ekonomi semasa.

Data Imbangan Dagangan Kanada (Rabu 8.30 Malam): Data yang mengukur kadar eksport dan import ini dijangka mencatatkan bacaan yang baik didorong oleh peningkatkan pada data IVEY PMI bulan lalu.

Data PMI Bukan-Perkilangan ISM AS (Rabu 10.00 Malam): Bacaan pada data bulan Mei agak mengejutkan apabila mencatatkan kenaikan walaupun ekonomi Amerika Syarikat bergerak pada kadar yang perlahan. Dijangka bacaan pada bulan Jun pula kembali mencatatkan sedikit penurunan semula.

Data Jualan Runcit Australia (Khamis 9.30 Pagi): Kadar jualan runcit mencatatkan bacaan yang memuaskan untuk bulan Februari dan Mac, namun sedikit menurun pada bulan April. Jangkaan untuk bacaan bulan Mei kembali mencatatkan kenaikan semula.

Laporan Data Pekerjaan NFP Amerika Syarikat (Jumaat 8.30 Malam): Jangkaan laporan pekerjaan untuk bulan Jun positif dengan kadar pengangguran dijangka kekal di paras rendah selepas penurunan sebelum ini. Kadar pertambahan pekerjaan dan purata pendparan juga dianggarkan meningkat.

Laporan Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Dikeluarkan bersama laporan pekerjaan AS adalah laporan pekerjaan di Kanada. Penurunan mengejutkan pada kadar pengangguran di Kanada pada bulan Mei ke paras terendah dalam sejarah sejak data pekerjaan dikeluarkan.