Persidangan kemuncak G20 tahunan yang berlangsung selama dua hari di Osaka, Jepun penghujung minggu lalu telah berakhir dan menjadi tumpuan seluruh dunia. Namun agenda utama yang menjadi perhatian adalah terhadap perkembangan rundingan dagang antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini dilanda konflik yang berpanjangan.

G20 adalah merupakan forum antarabangsa bagi pemimpin-pemimpin yang melibatkan 19 negara bersama Kesatuan Eropah. Berikut merupakan sebahagian isu utama yang dibangkitkan pada persidangan kali ini.

Presiden Turki, Tayyip Erdogan menyatakan bahawa Presiden Donald Trump telah memberitahunya Amerika Syarikat tidak akan mengenakan sekatan ke atas Turki untuk membeli sistem peluru berpandu daripada Rusia.

Isu sekatan tersebut timbul dalam pertemuan dua hala antara sekutu NATO, di mana Donald Trump berkata mereka berusaha untuk memastikan Turki tidak dikenakan hukuman. Erdogan menambah bahawa, beliau menjangkakan Amerika Syarikat akan menghantar pesawat pejuang F-35 buatan Amerika pada Julai ini ketika rundingan antara kedua negara itu diteruskan.

Berhubung isu perang dagang bersama China, Presiden Trump berkata Amerika Syarikat akan menangguhkan kenaikan tarif terhadap $300 bilion dolar barangan import Cina dengan harapan persengketaan antara dua ekonomi gergasi itu akan berakhir.

Dalam temubualnya di sidang media selepas sidang kemuncak tersebut berakhir, Trump mengatakan Amerika Syarikat akan meneruskan rundingan dan beliau memberi jaminan tiada tarif baru dikenakan ke atas China buat masa ini. Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan China dan meneliti semula perjanjian perdagangan.


Amerika dan China bersetuju untuk mengadakan rundingan semula dan berbincang mengenai isu-isu yang lebih mendalam.

Apa yang mengejutkan para pelabur apabila Trump menyampaikan komennya berkait isu Huawei. Apabila diajukan soalan oleh wartawan berkenaan sekatan syarikat-syarikat Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan syarikat teknologi gergasi dari China Huawei, Trump menyatakan bahawa beliau bersetuju untuk membenarkan syarikat-syarikat Amerika melakukan transaksi jualan bersama firma China tersebut.

Trump juga mengatakan China akan membeli lebih banyak produk pertanian daripada Amerika Syarikat.

Pada penutup persidangan G20 tersebut, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata para pemimpin telah bersetuju dengan prinsip-prinsip yang kembali mengawal ekonomi global.

Abe dalam sidang media mengatakan ketegangan perdagangan akan tetap wujud dan risiko sentiasa ada. Namun semua perlu berwaspada dan bekerjasama dalam mengimbangi ekonomi dunia.

Korea Utara pada Sabtu lalu berkata tawaran Presiden AS Donald Trump untuk bertemu pemimpin Kim Jong Un di Zon Bebas-Tentera Korea (DMZ) adalah satu cadangan yang menarik. Kedua-dua pemimpin tersebut bertemu di DMZ dan berjabat tangan pada Ahad di mana Donald Trump melakar sejarah baru apabila menjadi Presiden Amerika Syarikat pertama yang menjejakkan kaki ke Korea Utara.