Dolar Amerika Syarikat perlahan pada sesi pasaran Jumaat berikutan pelabur berwaspada menjelang pertemuan penting antara kedua-dua pemimpin dari Amerika Syariakat (AS) dan China di persidangan kemuncak negara G-20 penghujung minggu ini untuk mendapatkan petunjuk terhadap perkembangan rundingan dagang yang masih tegang.

Mood pasaran positif selepas media China, South China Morning Post melaporkan Washington dan Beijing sedang mengusahakan perjanjian yang akan membendung tarif terbaru dikenakan kepada tambahan $300 bilion barangan import China.

Rundingan antara dua ekonomi gergasi dunia itu berada di tahap yang genting dan membuatkan para pemain pasaran dan penganalisis bersedia untuk sebarang keputusan yang sukar dijangka pada persidangan kali ini. Namun, pasaran masih mengharapkan kesepakatan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping dapat dicapai.

Dagangan Pound Sterling berjaya melonjak sedikit berbanding dolar Amerika semalam terkesan oleh faktor perkembangan rundingan dagang AS-China. Aset berisiko termasuk pound umumnya akan mendapat permintaan dalam pasaran dengan kenaikan juga pada saham-saham Eropah sementara dagangan safe-haven seperti Yen dan Swiss franc mencatatkan penurunan.


Dolar Euro pula pada minggu ini dilihat agak mendatar pada pergerakan harga dan digerakkan oleh faktor-faktor luar seperti perubahan nilai matawang USD dan lain-lain. Penganalisis masih melihat sentimen buat matawang Eropah itu kekal berisiko merujuk kepada spekulasi bank pusat yang bakal memilih pelonggaran polisi pada mesyuarat yang akan datang.

Dagangan komoditi masih lagi memanfaatkan peluang untuk mengukuh dalam situasi pasaran yang semakin pulih berbanding risiko sebelum ini. Dolar Australia masih mengekalkan siri kenaikan harga sejak minggu lalu sehingga ke dagangan semalam.

Begitu juga dolar New Zealand yang mengekalkan momentum kenaikan harga dalam pasaran semasa walaupun kenyataan bank pusat New Zealand pada mesyuarat polisi minggu ini bernada dovish.

Dolar Kanada pula mencatatkan kenaikan terbaru berbanding USD di samping mendapat kelebihan oleh faktor kenaikan harga minyak dalam pasaran berikutan ketegangan yang berlarutan di Timur Tengah. Pasaran akan memberi tumpuan pada data pertumbuhan GDP Kanada pada jam 8.30 malam ini dengan jangkaan bacaan data yang sedikit menurun.