Dolar New Zeland (NZD) pada sesi pasaran Asia hari ini mula menunjukkan pengukuhan susulan data imbangan dagangan yang dikeluarkan mencatatkan bacaan yang positif. Lebihan dagangan berkembang kepada 264 juta dolar untuk bulan Mei 2019 berbanding 199 juta dolar pada bulan yang sama tahun lalu.

Angka tersebut juga adalah lebih tinggi berbanding 200 juta dolar lebihan dagangan jangkaan pasaran. Kadar eksport melonjak 8.5% unjuran tahun ke tahun sementara kadar import meningkat kepada 7.6%.

Penutup sesi pasaran Asia hari ini menyaksikan sentimen pasaran kembali berada dalam suasana yang berisiko menjelang pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Xi Jinping pada sidang kemuncak G-20 akhir minggu ini.

Sementara itu Dolar AS jatuh ke paras tiga bulan terendah berbanding Euro dan turun ke paras paling lemah berbanding Yen sejak awal Januari susulan prospek pelonggaran monetari oleh Federal Reserve.


Yen mendapat manfaat daripada kebimbangan pasaran mengenai ketegangan Amerika Syarikat dan Iran. Tehran berkata hari ini bahawa sekatan A.S. secara kekal menutup laluan diplomasi antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan matawang Pound, matawang ini melonjak pada sesi Eropah, didorong oleh kelemahan USD. Walaubagaimanapun, Pound masih kekal di bawah tekanan ketidaktentuan Brexit, dengan euroskeptik Boris Johnson yang terdepan untuk menjadi pemimpin dan perdana menteri yang akan datang.