Tidak banyak perubahan dilihat pada pergerakan harga bagi dagangan matawang dolar Amerika Syarikat pada Isnin, berlegar di sekitar paras tertinggi dua minggu dagangan berikutan pelabur kembali mempertimbangkan keputusan pelonggaran kadar oleh Federal Reserve (Fed) untuk mesyuarat polisi pada minggu ini.

Matawang utama yang lain dalam pasaran turut diniagakan perlahan disebabkan pelabur yang berwaspada untuk posisi dagangan mereka menjelang mesyuarat beberapa bank pusat utama selain Fed sepanjang minggu ini.

Tidak mengejutkan jika pergerakan volatile harga berlaku sebelum mesyuarat FOMC berlangsung namun jangkaan majoriti pemain pasaran akan memilih pendekatan tunggu-dan-lihat untuk berdepan risiko dalam pasaran minggu ini.

Mengikut indikator FedWatch oleh CME Group, peratusan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Fed pada mesyuarat 18-19 Jun telah menurun kepada 20.8%. Namun polisi pelonggaran pada mesyuarat Julai masih lagi dijangka tinggi dengan peratusan naik kepada 67.9% untuk penurunan 25 mata asas bagi kadar faedah.

Jangkaan penurunan kadar faedah dikuatkan lagi dengan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan untuk bulan Mei, komen bernada dovish oleh ahli FOMC dan juga data inflasi yang lemah pada minggu sebelum ini.


Pound Sterling pula dilihat didagangkan di sekitar paras terendah untuk tahun ini didorong oleh kebimbangan terhadap Boris Johnson sebagai calon utama yang bakal menggantikan jawatan Perdana Menteri Britain yang dilepaskan oleh Theresa May sebelum ini. Kebimbangan terarah terhadap arah tujuan Britain yang bakal berdepan situasi pengunduran dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian.


Pelabur turut akan memberi tumpuan pada mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada Khamis ini dengan jangkaan kadar faedah masih lagi akan dikekalkan. Dan sebelum itu juga, Bank of Japan (BOJ) akan mengumumkan keputusan kadar faedah dalam mesyuarat polisi mereka.

Dagangan Jepun dan Euro juga dilihat masih lagi mendatar sementara kegelisahan para pelabur menantikan keputusan mesyuarat FOMC dan juga penetapan kadar faedah oleh BOJ.

Sementara itu, matawang komoditi dolar Australia juga berada di sekitar paras terendah sejak situasi ‘flash crash’ pada awal Januari lalu berikutan jangkaan yang semakin kuat berkaitan sekali lagi pemotongan kadar faedah oleh bank pusat Australia dan juga terhimpit oleh pertumbuhan yang perlahan pada ekonomi China yang merupakan pasaran eksport terbesar Australia.

Sentimen pasaran masih lagi dilihat berisiko dengan isu perang dagang AS-China yang masih tidak berpenghujung dan dihangatkan lagi dengan ketegangan geopolitik terbaru dalam isu serangan kapal tangki minyak di Selat Hormuz.