Indeks dolar Amerika mencatatkan kenaikan ke paras tertinggi dua minggu pada Jumaat lalu selepas data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan memaparkan bacaan yang memberangsangkan untuk bulan Mei. Bacaan tersebut telah melegakan kegusaran pelabur menjelang mesyuarat polisi oleh Federal Reserve (Fed) pada minggu ini dengan mengurangkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan sebelum ini.

Jabatan Perdagangan AS mengatakan kadar jualan runcit meningkat kepada 0.5% untuk bulan lalu, hanya sedikit rendah berbanding jangkaan kenaikan 0.7% oleh penganalisis ekonomi. Data untuk bulan April turut dikemaskini meningkat pada kadar 0.3% berbanding penurunan pada kadar 0.2% seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dolar Amerika Syarikat kembali diniagakan pulih pada minggu lalu selepas permulaan mingguan yang lemah untuk bulan Jun ekoran pertimbangan para pelabur terhadap jangkaan penurunan kadar faedah AS sedikit meleset berbanding data-data yang berkaitan.

Ditambah lagi dengan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, pelabur gelisah terhadap tindakan Presiden Donald Trump yang akan mengenakan tarif terhadap Jepun dan Eropah yang akan menyebabkan keputusan dovish oleh bank pusat global dan memberikan kelebihan terhadap dagangan USD.

Tumpuan pelabur terhadap dagangan USD pada minggu ini akan terarah kepada keputusan mesyuarat FOMC pada awal Khamis ini dan akan memberikan impak signifikan terhadap matawang Amerika tersebut.

Beralih perkembangan di London, matawang Pound British kembali mencatatkan penurunan pada Jumaat lalu selepas pelabur mula mengurangkan posisi dagangan mereka selepas Boris Johnson semakin hampir menggantikan Theresa May sebagai Perdana Menteri Britain yang baru dengan dagangan Sterling merekodkan kerugian berbanding Euro selama enam minggu berturut-turut.

Pelabur turut bimbang terhadap calon baru yang bakal menggantikan Theresa May mampu untuk mengawal situasi pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah dengan tiada perjanjian dijangka akan membebankan hubungan perdagangan mereka di masa hadapan.


Tempoh masa juga dilihat terlalu singkat untuk rundingan semula bagi mendapatkan sokongan Brussels. Kesatuan Eropah menyatakan rundingan tidak akan diadakan semula sebelum Britain dijadualkan berundur pada 31 Oktober nanti.


Tumpuan untuk Sterling pada minggu akan terarah pada data inflasi, data jualan runcit dan juga penetapan kadar faedah oleh Bank of England (BOE).

Bank pusat Jepun juga akan mengumumkan keputusan penetapan kadar faedah pada minggu ini dan akan mempengaruhi dagangan safe-haven Yen yang sebelum ini memiliki kelebihan dalam suasana pasaran yang berisiko terutamanya melibatkan isu perang dagang yang masih berlarutan.

Matawang komoditi termasuk dolar AUD, dolar CAD dan juga dolar NZD turut mencatatkan penurunan selepas data jualan runcit AS kembali melonjakkan matawang Amerika semula.

Dolar New Zealand antara yang mencatatkan prestasi terburuk pada minggu lalu dengan penurunan 2% berbanding USD selain terkesan juga ekoran pertumbuhan ekonomi yang perlahan di China dan Australia. Data pertumbuhan GDP New Zealand untuk suku tahun pertama akan dikeluarkan pada minggu ini dan berkemungkinan mencatatkan bacaan yang lemah ekoran terkesan oleh data-data domestik yang merosot.

Selain peka terhadap perkembangan isu-isu global dalam pasaran, pantau juga data-data penting sepanjang minggu ini untuk membantu anda merancang strategi dagangan yang berkesan.