Sekali lagi, matawang komoditi khususnya NZD hari ini diniagakan rendah berikutan tinjauan PMI perkilangan New Zealand yang dicetak rendah pada 50.2 pada bulan Mei 2019 daripada 53.0 pada bulan lepas dan di bawah jangkaan pasaran 54.4 sekaligus menjadikan bacaan ini merupakan bacaan yang terendah sejak Disember 2017.

Bukan itu sahaja, sentimen pasaran global yang kembali tidak menentu juga menekan prestasi matawang komoditi ini. Terbaru, pelabur berhati-hati dalam ketegangan geopolitik AS-Iran. Amerika Syarikat mengesyaki bahawa Iran terlibat dalam serangan terhadap 2 kapal tangki minyak di Teluk Oman semalam.


Berbalik kepada data ekonomi, sebentar tadi pasaran dikejutkan dengan data domestik China yang kurang memberangsangkan di mana sektor pengeluaran perindustrian dan pelaburan aset tetap di negara itu merosot secara tidak dijangka. Sektor keluaran industri China menguncup kepada 5.0% pada Mei 2019 daripada 5.4% pada April. Ia juga merupakan pertumbuhan tahunan yang paling perlahan dalam tempoh lebih 17 tahun.


Seterusnya, pelabur bakal menumpukan perhatian terhadap data jualan runcit Amerika Syarikat yang dijadualkan pada jam 8:30 malam ini. Dengan kemerosotan dalam pasaran buruh, purata pendapatan yang perlahan, harga petrol yang rendah serta kejatuhan 6% dalam pasaran saham pada Mei, data ini dilihat untuk dicetak lebih rendah.