Menjelang mesyuarat polisi bank pusat Eropah pada petang ini, dagangan Euro terus mengekalkan pengukuhan sepanjang minggu ini.

Pasaran menjangkakan European Central Bank (ECB) bakal meningkatkan rangsangan dengan tambahan terhadap program pembelian bon untuk menyokong ekonomi Eropah yang terjejas akibat pandemik Coronavirus.

Pengukuhan Euro turut menekan indeks US dolar ke paras terendah 3 bulan dengan pergerakan matawang US itu terus bergerak lemah sejak minggu lalu.

Di samping itu, rusuhan di Amerika Syarikat semakin membimbangkan dan dilihat akan terus mendorong penyusutan nilai US dolar.

Sentimen risk-on pasaran juga menjadi faktor yang meramalkan US dolar akan bergerak lemah untuk tempoh yang lebih lama. Pentadbiran Trump dilaporkan telah memilih 5 program vaksin Coronavirus yang berpotensi untuk menerima dana tambahan sumbangan kerajaan.

Seperti analisis yang dikongsikan sebelum ini, pergerakan harga pada carta pasangan matawang EUR/USD masih mengekalkan siri kenaikan setiap hari dengan purata kenaikan harian sekitar 100 pips.

Pada sesi New York semalam, harga telah mencapai ke paras ketinggian 1.12580 selepas melonjak dari zon RBS (resistance become support) sekitar 1.11900 yang menjadi paras halangan dagangan hari sebelumnya.

Siri kenaikan harga yang terus bergerak di atas paras sokongan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam pergerakan harga di carta EUR/USD belum menunjukkan isyarat untuk perubahan trend bearish.

Kenaikan harga dijangka akan menuju ke paras ketinggian sekitar 1.13000 sekaligus mencatatkan paras ketinggian terbaru 3 bulan.

Namun begitu, pergerakan harga bakal dipacu oleh keputusan mesyuarat ECB dan juga kenyataan susulan oleh Gabenor bank pusat.

Jika Euro kembali susut nilai dan harga pada carta EUR/USD membuat penurunan, zon RBS di bawah paras 1.12000 akan diuji begitu juga sokongan dinamik MA50.

Penurunan lebih rendah dari zon tersebut akan menuju paras tumpuan sebelum ini sekitar 1.11000 sebelum penurunan seterusnya pada zon RBS 1.10000.